Saturday, November 6, 2010

IFF: Menghina Islam Atas Nama Islam

On 23/10/2010, in Cabaran Islam, by Abu Saif | 47,077 views | Print Print | Email Email |

Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF) Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang [...]

Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?

Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?

Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.

Itulah BUSANA MUSLIMAH.

LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.

“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.

“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.

Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.

Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.

Tudung juga tidak banyak jenis.

Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.

Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.

LANDSKAP SEMASA

Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.

Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.

Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.

Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Versi DUBAI!

PENTAKRIFAN

“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?

Bagaimana dengan batas-batas Aurat?

Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?

Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?

Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!

Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.

Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?

Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.

KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR

Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my

Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.

Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.

Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.

“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.

Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.

Ia adalah sebuah gerakan.

“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

BEBAS

“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.

“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.

Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.

Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).

Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.

Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]

FULL STOP!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


p/s : muhasabah diri..

Friday, October 1, 2010

24 Ciri-Ciri Orang Yang Mencintai Kamu

Dalam kehidupan, kamu tidak sedar apa yang dilakukan oleh seseorang terhadap diri kamu merupakan satu petanda yang dia mencintai kamu. Dia tidak ingin kamu tahu secara terus daripada mulut dia tetapi dia menunjukkannya melalui perbuatan. Berikut merupakan 24 ciri-ciri yang dilakukan oleh seseorang yang menunjukkan bahawa dia mencintai kamu.

  1. Orang yang mencintai kamu tidak pernah mampu memberikan alasan kenapa dia mencintai kamu. Yang dia tahu di hati dan matanya hanya ada kamu satu-satunya.
  2. Walaupun kamu sudah memiliki teman istimewa atau kekasih, dia tidak perduli! Baginya yang penting kamu bahagia dan kamu tetap menjadi impiannya.
  3. Orang yang mencintai kamu selalu menerima kamu apa adanya, di hati dan matanya kamu selalu yang tercantik walaupun mungkin kamu merasa berat badan kamu sudah bertambah.
  4. Orang yang mencintai kamu selalu ingin tahu tentang apa saja yang kamu lalui sepanjang hari ini, dia ingin tahu kegiatan kamu.
  5. Orang yang mencintai kamu akan mengirimkan SMS seperti ‘selamat pagi’, ‘selamat hari minggu’, ‘selamat tidur’, ‘take care’, dan lain-lain lagi, walaupun kamu tidak membalas SMS nya, kerana dengan kiriman SMS itu lah dia menyatakan cintanya, menyatakan dalam cara yang berbeza, bukan “aku CINTA padamu”, tapi berselindung ayat selain kata cinta itu.
  6. Jika kamu menyambut hari jadi dan kamu tidak mengundangnya ke majlis yang kamu adakan, setidak-tidaknya dia akan menelefon untuk mengucapkan selamat atau mengirim SMS.
  7. Orang yang mencintai kamu akan selalu mengingat setiap kejadian yang dia lalui bersama kamu, bahkan mungkin kejadian yang kamu sendiri sudah melupakannya, kerana saat itu ialah sesuatu yang berharga untuknya. dan saat itu, matanya pasti berkaca. kerana saat bersamamu itu tidak boleh berulang selalu.
  8. Orang yang mencintai kamu selalu mengingati setiap kata-kata yang kamu ucapkan, bahkan mungkin kata-kata yang kamu sendiri lupa pernah mengungkapkannya. Kerana dia menyematkan kata-katamu di hatinya, berapa banyak kata-kata penuh harapan yang kau tuturkan padanya, dan akhirnya kau musnahkan? Pasti kau lupa, tetapi bukan orang yang mencintai kamu.
  9. Orang yang mencintai kamu akan belajar menggemari lagu-lagu kegemaran kamu, bahkan mungkin meminjam CD milik kamu, kerana dia ingin tahu apa kegemaran kamu – kesukaan kamu kesukaannya juga, walaupun sukar meminati kesukaan kamu, tapi akhirnya dia berjaya.
  10. Kalau kali terakhir kalian bertemu kamu mungkin sedang selesema, atau batuk-batuk, dia akan sentiasa mengirim SMS atau menelefon untuk bertanya keadaan kamu – kerana dia bimbangkan tentang kamu, peduli tentang kamu.
  11. Jika kamu mengatakan akan menghadapi ujian, dia akan menanyakan bila ujian itu berlangsung, dan saat harinya tiba dia akan mengirimkan SMS ‘good luck’ untuk memberi semangat kepada kamu.
  12. Orang yang mencintai kamu akan memberikan suatu barang miliknya yang mungkin buat kamu itu ialah sesuatu yang biasa, tetapi baginya barang itu sangat istimewa.
  13. Orang yang mencintai kamu akan terdiam sesaat, ketika sedang bercakap di telefon dengan kamu, sehingga kamu menjadi bingung. Sebenarnya saat itu dia merasa sangat gugup kerana kamu telah menggegarkan dunianya.
  14. Orang yang mencintai kamu selalu ingin berada di dekat kamu dan ingin menghabiskan hari-harinya hanya dengan kamu.
  15. Jika suatu saat kamu harus pindah ke daerah lain, dia akan sentiasa memberikan nasihat agar kamu waspada dengan persekitaran yang boleh membawa pengaruh buruk kepada kamu dan jauh.
  16. Dihatinya dia benar-benar takut kehilangan kamu, pernah dengar ‘jauh dimata, dekat dihati?’
  17. Orang yang mencintai kamu bertindak lebih seperti saudara daripada seperti seorang kekasih.
  18. Orang yang mencintai kamu sering melakukan hal-hal yang SENGAL seperti menelefon kamu 100 kali dalam masa sehari. Atau mengejutkan kamu di tengah malam dengan mengirim SMS. Sebenarnya ketika itu dia sedang memikirkan kamu.
  19. Orang yang mencintai kamu kadang-kadang merindukan kamu dan melakukan hal-hal yang membuat kamu pening kepala. Namun ketika kamu mengatakan tindakannya itu membuat kamu terganggu dia akan minta maaf dan tak akan melakukannya lagi.
  20. Jika kamu memintanya untuk mengajarimu sesuatu maka ia akan mengajarimu dengan sabar walaupun kamu mungkin orang yang terbodoh di dunia! Bahkan dia begitu gembira kerana dapat membantu kamu. Dia tidak pernah mengelak dari menunaikan permintaan kamu walau sesukar mana permintaan mu.
  21. Kalau kamu melihat handphone-nya maka nama kamu akan menghiasi sebahagian besar INBOX-nya. Dia masih menyimpan SMS-SMS dari kamu walaupun ia kamu kirim berbulan-bulan atau bertahun-tahun yang lalu. Dia juga menyimpan surat-surat kamu di tempat khas dan segala pemberian kamu menjadi benda-benda berharga buatnya.
  22. Dan jika kamu cuba menjauhkan diri daripadanya atau memberi reaksi menolaknya, dia akan menyedarinya dan menghilang dari kehidupan kamu, walaupun hal itu membunuh hatinya.
  23. Jika suatu saat kamu merindukannya dan ingin memberinya kesempatan dia akan ada menunggu kamu kerana sebenarnya dia tak pernah mencari orang lain, dia sentiasa menunggu kamu.
  24. Orang yang begitu mencintaimu, tidak pernah memaksa kamu memberinya sebab dan alasan, walaupun hatinya meronta ingin mengetahui, kerana dia tidak mahu kamu terbeban dengan karenahnya. Saat kau pinta dia berlalu, dia pergi tanpa menyalahkan kamu, kerana dia benar-benar mengerti apa itu cinta.

“Pernah adakah orang yang berbuat seperti di atas kepada kamu? Jika ada, jangan pernah mensia-siakan orang tersebut… Kamu akan menyesal melakukannya!”

Monday, April 26, 2010

Tanggungjawab Melindungi Wanita Menurut Islam

(12 Mac 2010/ 26 Rabiulawal 1431)



الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقآئِلِ فِىْ كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ:

ﭑ أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعَيْنَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat serta kasih sayang Allah SWT. Tajuk khutbah pada hari ini ialah



“ Tanggungjawab Melindungi Wanita Menurut Islam”.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Islam telah meletakkan kaum wanita di tempat yang sewajarnya. Tentu kita pernah mendengar kisah orang arab di zaman Jahiliah yang telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup sama ada sebaik sahaja anak perempuan tersebut lahir ataupun telah meningkat ke usia remaja. Ini kerana mereka menganggap anak perempuan akan membawa malu serta aib kepada keluarga.



Dalam hal ini Allah SWT ada menyebutkan dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya, sedang ia sangat marah. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya; adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.”



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa insiden yang menakutkan malah mengerikan kita semua terutama sekali yang melibatkan anak-anak gadis dan kaum wanita khususnya. Melalui akhbar-akhbar kita dipaparkan dengan peristiwa- peristiwa yang begitu menyayat hati yang telah berlaku kepada kaum wanita seperti pembunuhan, penderaan, pelacuran, perkosaan dan sebagainya. Perkara ini adalah merupakan masalah yang berat dan tidak boleh dipandang dengan sebelah mata atau sekadar hanya melafazkan kata-kata ‘ kasihan’ di bibir terhadap peristiwa malang yang menimpa kaum wanita itu.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Allah menjadikan segala makhluk di alam ini dalam keadaan berpasangan. Di antaranya termasuklah di dalam penciptaan manusia di mana Allah SWT menjadikan kaum wanita sebagai pasangan untuk lelaki. Dari segi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, Allah SWT tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam hal memberi ganjaran ataupun pahala dalam setiap amal salih yang dilakukan. Pada sisi Allah, lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama dalam mengatur kehidupan yang sempurna di muka bumi ini.



Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97:

Maksudnya:“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kaum lelaki merupakan ketua yang diamanahkan supaya melindungi kaum wanita. Tanggungjawab ini adalah seiring dengan beberapa kelebihan dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Sehubungan itu, kaum lelaki hendaklah sentiasa berusaha memahami keperluan dan kehendak wanita. Allah SWT telah berpesan kepada kaum lelaki bahawa mereka adalah pemimpin kepada kaum wanita .



Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 34:

Maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka.”



Jelaslah bahawa, menjadi tanggungjawab kaum lelaki dalam memberi perhatian ke atas nasib kaum wanita sepanjang masa terutamanya apabila mereka dihina atau dianiaya. Sejarah telah membuktikan bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Pengutusan baginda sebagai Nabi dan Rasul, bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan sekaligus berjaya meletakkan kaum wanita kesatu taraf yang lebih mulia, berbanding nasib mereka dalam era jahiliah.



Dalam hal ini, baginda Rasulullah SAW pernah bersabda Riwayat Termizi:

Mafhumnya: “ Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku” .



Sesungguhnya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW telah terbukti berjaya mengubah nasib golongan wanita di seluruh dunia, dari lembah kehinaan dan diskriminasi, lalu diangkat kedudukannya yang mulia dan terhormat.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Walaupun Islam telah memuliakan kaum wanita, masih terdapat kecenderungan sesetengah pihak yang meremehkan wanita sehingga menjadi mangsa diskriminasi. Pandangan dan suara hati wanita tidak diberi perhatian. Bahkan kalaupun dilayan, layanan diberi secara acuh tidak acuh sahaja. Malah, pendapat kaum wanita yang menyentuh kepentingan diri mereka sendiri ada kalanya tidak dipandang serius.



Sikap seumpama ini boleh mendedahkan kaum wanita kepada tindakan dan layanan yang tidak adil. Cuba bayangkan jika sekiranya orang yang menjadi mangsa diskriminasi adalah ibu kita sendiri atau bayangkan perasaan seorang lelaki jika yang menjadi mangsa kezaliman terkena ke atas isteri, anak perempuan atau saudaranya sendiri.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kita dapati masih terdapat eksploitasi kaum lelaki ke atas kaum wanita. Tentu kita merasa sedih mendengar berita wanita diperkosa, didera dan dizalimi dengan pelbagai bentuk tekanan psikologi.



Selain itu, terdapat kaum wanita sendiri yang merelakan diri di eksploitasi dan menjadi bahan iklan murahan, akibatnya, semakin ghairah lelaki yang buas mengambil kesempatan dan tidak menghormati nilai seorang wanita. Oleh itu, bagi memelihara taraf kaum wanita, perubahan sikap perlu bermula dari kaum lelaki yang menjadi pemelihara dan pelindung kaum wanita.



Sementara kaum wanita sendiri perlu menghargai diri sendiri dan bangun menyatakan hak mereka dengan menyayangi dan menghormati kaum lelaki yang sentiasa melindungi mereka. Kita yakin bahawa, hanya orang yang benar-benar beriman sahaja mampu memikul amanah ini. Iman yang sempurna akan mendorong kita melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.



Oleh itu seseorang yang tidak menyempurnakan tanggungjawab dalam memelihara hak wanita, bererti ia tidak sempurna imannya, walaupun sudah banyak amalan kebajikan dan ibadah yang dilakukannya. Bagi memastikan kaum lelaki memiliki iman dan takwa yang sempurna, marilah kita sama-sama menghormati hak kaum wanita. Kita melindungi mereka dan seterusnya kita menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh amanah bagi membahagiakan mereka. Kebahagiaan kaum wanita menjadi asas utama kepada kebahagiaan keluarga, masyarakat dan negara.



Sabda Nabi Muhammad SAW:

Mafhumnya: “ Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya”.

(سورة آل عمران : 104)

Friday, April 2, 2010

Bila abe tentera bosan~






p/s : bile shaye busan,shaye pegang joystick n maen fifa online 2^_^

Sunday, March 28, 2010

Warkah Cinta Terakhir (Kisah Cinta)

Saya telah mengembara ke hujung dunia, mencari CINTA saya. Tapi, pertama kali saya bertemu awak, hati saya terus terpaut. Demi tuhan, saya tidak tahu kenapa. Tapi itulah kebenarannya.
Saya telah menolak awak, tapi awak mencabar saya dengan kejujuran awak, awak tahu yang awak tidak bertepuk sebelah tangan. Dan, awak berjanji saya bukan salah seekor rama rama perhiasan di dinding kamar tidur awak.

Hanya dengan sebuah renungan, saya jatuh tersungkur ke penjuru mata awak. Saya tidak dapat membohongi perasaan saya bahawa saya menyayangi awak. Dan di saat saya menCINTAi awak, saya telah jatuh ke dasar perasaan yang paling dalam. Lemas dan hampir tenggelam di dalam lautan kasih sayang, seribu impian dan saya mula terpikir, saya mengembara ke hujung dunia, mencari awak, rupanya awak ada di sisi saya selama ini dan baru saya sedari tika dan saat itu.

Bagai merpati putih CINTA saya berkelana mencari singgahsana di hati awak. Nyata saya tak menemuinya. Tapi akhirnya, bila awak telah memiliki CINTA saya, awak mencampakkannya jauh ke dasar laut yang tidak mampu saya selam. Disana saya tak mampu melihat cahaya. Awak berikan saya harapan, dan akhirnya awak jugalah yang menyalakan api dan membakar saya dalam diam.

Saya sedih sangat, bila awak kata awak tak tahu apa yang sebenarnya awak cari. Tapi jauh di sudut hati ini saya merasakan awak masih belum cukup dewasa untuk memahami apa itu CINTA dan mungkin tidak akan pernah dewasa atau mungkin juga awak belum pernah benar benar jatuh CINTA pada seseorang. Jadi, selama ini siapa saya di hati awak ?

Adakah selama ini awak sebenarnya tidak pernah menyintai saya?

Siapa yang memujuk saya untuk membuka pintu hati?

Siapa yang mengajar saya bahawa CINTA itu memerlukan pengorbanan?

Siapa yang memberitahu saya agar sentiasa jujur pada perasaan sendiri??

AWAK!



Awak mungkin jenis perempuan yang boleh menyintai ramai LELAKI berkali kali. Tapi saya pula seorang LELAKI yang percaya bahawa dalam hidup saya hanya ada 1 wanita, 1 CINTA dan 1 perkahwinan.

Kita hidup sekali, mati sekali dan menyintai sekali.

Melangkah pergi meninggalkan awak, telah mengambil seluruh kekuatan yang saya ada. Jangan anggap saya tinggalkan awak kerana saya bencikan awak. Jangan.

Bagaimana harus saya bencikan awak, sedangkan setiap hari, saya merindui awak, biarpun pada ketika awak berada di sisi saya. Di setiap saat saya mengingati awak. Seumur hidup ini saya menCINTAi awak.



Awak,

Sebelum saya menghilang diri dari dunia awak, saya ingin nyatakan sesuatu, yang tidak pernah awak tahu. Kalaulah awak bertanya kepada saya, sedalam mana saya CINTAkan awak, inilah jawapan saya;

'Kalau suatu hari, awak kehilangan suara, saya akan memberikan suara saya, agar awak dapat bersuara semula. Meskipun waktu itu, saya akan bisu buat selamanya'

'Dan kalau suatu hari awak kehilangan hati, saya akan memberikan hati saya agar awak dapat hidup untuk selama lamanya, meskipun waktu itu saya tiada lagi di dunia ini (awak tak pernah tahu)

Semuanya untuk awak, tapi satu sahaja yang tidak akan awak dapat dari saya sebelum awak menikahi saya,



Seseorang pernah berkata,

'If you really LOVE someone, then let that person go. If that person is meant for you, than that person will come back to you eventually. But if that person does not, then that person was never meant for you, in the first place'



Awak,

Kerana saya menCINTAi awaklah saya melangkah pergi, demi kebahagiaan awak. Saya berdoa supaya suatu hari nanti, awak akan temui apa yang awak cari. Supaya suatu hari nanti awak akan memahami apa erti CINTA yang sebenar. Supaya suatu hari nanti, awak akan dapat mengetahui, bagaimana rasanya terlalu menCINTAi seseorang dan semoga awak takkan pernah terlewat untuk menghargainya.




Awak,

Saya percaya pada tuhan yang mempertemukan kita, saya tahu ada hikmah di sebalik semua ini dan saya tidak akan menyoal. Saya juga tidak pernah kesal sekurang kurangnya sepanjang mengenali awak, saya telah bersikap ikhlas dan jujur dengan perasaan saya.

Saya juga percaya, andai benar kita punya jodoh, awak akan kembali pada saya. Itu bukan harapan saya tapi saya ingin belajar untuk pasrah pada ketentuan tuhan dan kalau pun awak takkan pernah kembali pada saya, saya percaya, mungkin itu yg terbaik.



Friday, February 26, 2010

GASTRIK & ULCER PUNCA DAN RAWATAN alternatif

Semakin hari kini semakin ramai orang yang menghidap penyakit gastrik. So, ana sediakan sedikit info yang ana copypaste kan dari Laman Emjay [seronok sebab banyak informasi leh dapat daripada website ini]

Untuk mengetahui apa dia penyakit gastrik menurut pandangan doktor serta punca, sila rujuk laman berikut http://161.139.39.251/akhbar/health/1996/mm96a06.htm yang dijelaskan oleh DR. AMINUDDIN AHMAD. Berikut adalah antara petikannya::

TEKANAN (stress), rangsangan atau tindak balas bahan kimia daripada ubat, makanan dan jangkitan bakteria boleh menyebabkan pembengkakan di kawasan permukaan perut. Pembengkakan yang timbul akibat daripada tindak balas setempat ini menyebabkan seseorang itu mendapat gastritis atau lebih dikenali sebagai gastrik.

Perut adalah kawasan yang mengeluarkan rembesan asid yang kuat dan pepsin yang berfungsi untuk menghancur / menghazam bahan-bahan makanan. "Kadangkala asid dan pepsin ini yang sepatutnya bertindak / menghazam ke atas makanan seperti daging sebaliknya merosakkan permukaan perut dengan cara menghazamkan/mencerna permuakaan perut yang juga adalah daging. Apabila permukaan perut terhakis asid akan menembusi lapisan pertahanan perut dan mengakibatkan hakisan/kecederaan itu membesar dan akhirnya menjadi ulser," katanya.

Bagaimanapun, katanya pembengkakan permukaan perut boleh disebabkan oleh bahan kimia yang diambil dalam makanan dan kimia yang terjadi dalam tubuh manusia sendiri seperti asid regurgitasi atau hempedu .

Ubat steroid dan bukan steroid, sesetengah antibiotik dan ubat-ubat tradisional Melayu dan Cina juga boleh menyebabkan gastritis (pembengkakan perut) serta berkemungkinan terjadi gastrik.

Menurut dr Aminuddin lagi:

PUNCA GASTRIK

  • Merokok
  • Meminum minuman beralkohol
  • Jangkitan bakteria helicobacter pylori
  • Kegagalan organ tubuh seperti kegagalan buah pinggang, pernafasan, jangkitan septisemia dan pesakit tenat yang boleh mengakibatkan stress ulser.
  • Tabiat pemakanan yang tidak mengikut waktu.
  • Gaya hidup yang tertekan (stress)
  • Bahan-bahan kimia seperti ubat Non-Steroid Anti Inflammatory Drug (NSAIDs).

Setakat ini tiada bukti jelas yang mengaitkan beberapa jenis makanan sebagai penyebab terjadinya gastrik.

Namun, sesetengah makanan yang masam seperti cuka, dan beberapa jenis buah-buahan seperti nangka serta makanan pedas mungkin memburukkan lagi keadaan atau gejala gastrik yang dihidapi.

Tambah beliau lagi:

TANDA-TANDA GASTRIK

Antara tanda-tanda yang dihidapi oleh seseorang yang menghidapi gastrik ialah:

  • Terdapat pesakit yang mengalami gastritis atau hakisan perut tanpa gejala klinikal
  • Sesetengah pesakit merasakan gejal-gejala kesakitan semasa lapar dan mereka terpaksa mengambil makanan yang lebih kerap untuk mengurangkan rasa sakit tersebut
  • Pendarahan gastrousus boleh berlaku pada pesakit yang menderita masalah yang lama, malah 25 hingga 30 peratus penyebabnya ialah kerana hakisan (gastritis erosif).

Pada laman web berikut juga boleh diperolehi maklumat berkaitan penyakit gastrik:: http://www.prn2.usm.my/mainsite/bulletin/kosmik/2000/kosmik5.html

Dari bahan-bahan penulisan ini bolehlah saya rumuskan penyakit gastrik atau juga dikenali sebagai gastritis sebagai:


Penyakit Gastrik / Gastritis ringan

Inflamasi (pembengkakan) pada bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.


Penyakit Gastrik / Gastritis berat

Berlaku kecederaan (luka) berpanjangan bahagian lapisan perut yang bersentuhan dengan makanan.



Penyakit Ulser gastrik (peptic ulcer)

Merujuk kepada ulser perut. (Ulser memberi maksud sejenis luka terbuka). Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis. Ulser gastrik adalah abang kepada Penyakit gastrik berat.

Berikut adalah pandangan berkaitan penyakit gastrik yang diturunkan oleh arwah guru saya:

Punca Penyakit Gastrik:

Punca penyakit gastrik adalah amalan tabiat makan (minum pagi, makan tengahari dan makan malam) yang tidak mengikut waktu yang tetap. Sebagai contoh kadang-kadang makan tengahari pukul 11.00, kadang-kadang pukul 12.00, kadang-kadang pukul 1.00, kadang-kadang pukul 2.00 dan kadang-kadang bila tersangat sibuk sampai pukul 4.00 petang belum makan tengah hari. Apabila amalan ini diteruskan untuk tempuh kira-kira 5 tahun, insyaAllah Allah akan memberikan penyakit gastrik. Setelah penyakit gastrik dikesan, namun tabiat ini masih diteruskan, insyaAllah dalam tempuh 2 tahun lagi, orang ini akan mendapat penyakit yang lebih serius lagi iaitu peptic ulcer atau ulser perut.

Tempuh matang untuk penyakit gastrik ini akan dipercepatkan lagi sekiranya seseorang itu merokok, suka makan nenas, makan mee segera, jeruk kering dan basah, junk food, minum minuman bergas, makan makanan berangin seperti pisang nangka, ubi dan cempedak / nangka; makan makanan terlalu pedas, makan hingga tersangat kenyang, makan ubat doktor atau tradisional tertentu dan makan makanan yang bercuka.

Tanda-tanda penyakit gastrik:

  1. Kerap sakit kepala di bahagian kanan kepala terutama apabila perut kosong atau lewat makan nasi.
  2. Sakit kepala ini kadang-kadang diikuti dengan perasaan loya atau mual dan sebu perut dan hilang selera untuk makan. Kadang-kadang simptom ini dialami tanpa sakit kepala.
  3. Demam yang saya panggil demam gastrik apabila selalu miss makan pagi, tengahari atau malam.
  4. Muntah kadang-kadang berwarna kuning dan kadang-kadang ada darah dalam muntah atau darah beku bergumpal.
  5. Sakit perut yang kadang kala teramat sakit.
  6. Keluar angin dari mulut macam sendawa terutama apabila bahagian tertentu badan digosok atau diurut.

Rawatan penyakit gastrik:

  1. Pastikan mulai sekarang, waktu makan adalah mengikut disiplin waktu yang ketat contoh setiap hari makan tengahari pukul 1.00 tgh plus minus 15 minit.
  2. Pastikan bila makan nasi (tenghari dan malam) selepasnya minum air suam bukan air manis atau air batu. Pastikan juga minum hanya sesudah makan bukan berulamkan minum!!
  3. Elakkan makanan junk food, jeruk kering seperti asam boi dan jeruk basah dan juga mee segera.
  4. Elakkan nescafe, kopi, teh, minuman bergas, sunquick dalam botol, orange squash, air limau
  5. Jikalau peringkat gastrik berat, elakkan segala makanan mengandungi yeast seperti roti, donat, pau, piza dll
  6. Elakkan makan terlalu kenyang
  7. Elakkan cuka, makanan yang pedas
  8. Elakkan atau kurangkan daging dan ayam.
  9. Elakkan makanan ubi, pulut, keledek, kentang, pisang nangka, pisang tanduk, cempedak / nangka, rebung, dan makanan lain yang menyebabkan kembung perut atau banyak angin dan sendawa.
  10. Elakkan sama sekali dari mengambil sebarang ubat dari doktor dan klinik bagi rawatan gastrik seperti milk of magnesia dsb kerana ia akan merumitkan lagi gastrik.
  11. Minum susu segar atau susu tepung full cream (bukan HL atau low fat atau annelene) pada awal pagi (6.30 pagi), 10.00 pagi, 4.00 ptg dan 9.30 malam setiap hari sehingga benar-benar sembuh.
  12. Kalau sakit perut teramat sangat, muntah atau demam, ambil secekak pucuk jambu batu, rebus dengan 3 sudu ketumbar, rebus dengan 3 gelas air dan masak hingga menjadi 1 gelas. Bahagikan air ini kepada 3 bahagian, minum 1 bahagian air rebusan ini tiga kali setiap 4 jam.

Mengenang semula penyakit gastrik ini, saya terkenang sejarah permulaan saya berjumpa dengan arwah guru saya kira-kira pada tahun 1985. Pada waktu ini ayah saya yang sudah berusia lewat 50an sedang sakit teruk iaitu ulser perut. Ulser lebih teruk berbanding gastrik. Ayah saya tinggal di Labis, Johor sedangkan saya pula tinggal di Kuala Lumpur. Hendak menjenguk selalu jauh. Alhamdulillah seorang kakak ipar bekerja sebagai staf nurse di Kluang. Beliaulah yang banyak menguruskan ayah saya ini masuk keluar hospital di Segamat (kira-kira 20 batu dari Labis).

Masalah Ulser perut ayah saya tidak selesai walaupun sudah banyak kali berjumpa doktor dan banyak kali keluar masuk wad di hospital, macam orang muda kata, pi mai pi mai dok tang tu juga. Kakak ipar saya pula selalu memberikan nasihat yang berkaitan.

Dengan izin Allah SWT, pada tahun 1985, saya membawa ayah saya untuk berubat dengan arwah guru saya di Cheras Kuala Lumpur. Itulah pertemuan pertama secara resmi antara saya dengan arwah guru saya.

Selepas banyak bersoal jawab antara arwah guru dan ayah saya, akhirnya arwah menjelaskan nama penyakit tersebut (ulser), punca penyakit dan bagaimana merawatnya. Saya terpaksa mengulang ke rumah arwah tersebut untuk mengambil (membayar) ubatnya beberapa hari kemudian.

Selepas mengamalkan pantang larang dan memakan ubat selama dua bulan sahaja, alhamdulillah penyakit ulser perut ayah saya pulih sehinggalah sekarang.

Selepas hampir sepuluh tahun kemudian, saya pula mengalami penyakit gastrik kerana tidak menjaga waktu makan disebabkan kesibukan kerja yang terlalu teruk, pukul 8.00 pagi hingga lewat malam 5 hari seminggu. Ilmu ini jugalah yang digunakan untuk saya merawat penyakit gastrik yang saya alami. Alhamdulillah sudah sembuh mudah-mudah tidak lagi berulang.