Showing posts with label islam. Show all posts
Showing posts with label islam. Show all posts

Saturday, November 6, 2010

IFF: Menghina Islam Atas Nama Islam

On 23/10/2010, in Cabaran Islam, by Abu Saif | 47,077 views | Print Print | Email Email |

Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF) Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang [...]

Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival (IFF)

Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?

Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing?

Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup banyak memesongkan manusia daripada landasan hidayah.

Itulah BUSANA MUSLIMAH.

LANDSKAP 1990′AN

“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian wanita Anatolia yang saya lihat.

“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.

“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.

“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. Buat hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok perbincangan.

Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh Islam untuk ia berkembang.

Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.

Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.

Tudung juga tidak banyak jenis.

Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.

Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.

LANDSKAP SEMASA

Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.

Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada sudut-sudut positifnya.

Baguslah begitu.

Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah Rahim juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.

Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh berlaku dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Versi DUBAI!

PENTAKRIFAN

“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]

Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?

Bagaimana dengan batas-batas Aurat?

Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri pada berpakaian itu?

Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana Muslimah itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat Muslim]

Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu diterima sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?

Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkan top hingga ke bawah ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!

Di manakah Islamnya?

Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat jauh daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat (jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah segalanya.

Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut Islam semakin menjadi-jadi.

Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan Allah atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?

Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan lelaki Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu kesesiaan yang mengundang penyesalan.

KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR

Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my

Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat antarabangsa ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.

Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan fesyen yang mahu ditampilkan.

Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.

“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai berlangsungnya Festival Fesyen Islamik tersebut.

Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.

Ia adalah sebuah gerakan.

“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”

BEBAS

“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.

“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu dikawalnya” tegas seorang yang lain.

Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.

Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak pernah berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang menyeronokkan (lagi menguntungkan).

Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah anda sememangnya bebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan mengganggu kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.

Kami cemburu dengan agama kami.

BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada Syariat Allah.

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]

FULL STOP!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


p/s : muhasabah diri..

Monday, April 26, 2010

Tanggungjawab Melindungi Wanita Menurut Islam

(12 Mac 2010/ 26 Rabiulawal 1431)



الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقآئِلِ فِىْ كِتَابِهِ الْعَزِيْزِ:

ﭑ أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعَيْنَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُونَ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang, mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat serta kasih sayang Allah SWT. Tajuk khutbah pada hari ini ialah



“ Tanggungjawab Melindungi Wanita Menurut Islam”.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Islam telah meletakkan kaum wanita di tempat yang sewajarnya. Tentu kita pernah mendengar kisah orang arab di zaman Jahiliah yang telah menanam anak perempuan mereka hidup-hidup sama ada sebaik sahaja anak perempuan tersebut lahir ataupun telah meningkat ke usia remaja. Ini kerana mereka menganggap anak perempuan akan membawa malu serta aib kepada keluarga.



Dalam hal ini Allah SWT ada menyebutkan dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya, sedang ia sangat marah. Ia bersembunyi dari orang ramai kerana berita buruk yang disampaikan kepadanya; adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau ia menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.”



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Sejak akhir-akhir ini, negara kita dikejutkan dengan beberapa insiden yang menakutkan malah mengerikan kita semua terutama sekali yang melibatkan anak-anak gadis dan kaum wanita khususnya. Melalui akhbar-akhbar kita dipaparkan dengan peristiwa- peristiwa yang begitu menyayat hati yang telah berlaku kepada kaum wanita seperti pembunuhan, penderaan, pelacuran, perkosaan dan sebagainya. Perkara ini adalah merupakan masalah yang berat dan tidak boleh dipandang dengan sebelah mata atau sekadar hanya melafazkan kata-kata ‘ kasihan’ di bibir terhadap peristiwa malang yang menimpa kaum wanita itu.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Allah menjadikan segala makhluk di alam ini dalam keadaan berpasangan. Di antaranya termasuklah di dalam penciptaan manusia di mana Allah SWT menjadikan kaum wanita sebagai pasangan untuk lelaki. Dari segi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini, Allah SWT tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam hal memberi ganjaran ataupun pahala dalam setiap amal salih yang dilakukan. Pada sisi Allah, lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama dalam mengatur kehidupan yang sempurna di muka bumi ini.



Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97:

Maksudnya:“Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kaum lelaki merupakan ketua yang diamanahkan supaya melindungi kaum wanita. Tanggungjawab ini adalah seiring dengan beberapa kelebihan dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah. Sehubungan itu, kaum lelaki hendaklah sentiasa berusaha memahami keperluan dan kehendak wanita. Allah SWT telah berpesan kepada kaum lelaki bahawa mereka adalah pemimpin kepada kaum wanita .



Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 34:

Maksudnya: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka.”



Jelaslah bahawa, menjadi tanggungjawab kaum lelaki dalam memberi perhatian ke atas nasib kaum wanita sepanjang masa terutamanya apabila mereka dihina atau dianiaya. Sejarah telah membuktikan bahawa junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan pembela kaum wanita yang terulung. Pengutusan baginda sebagai Nabi dan Rasul, bukan sahaja membawa risalah Islam yang sempurna, bahkan sekaligus berjaya meletakkan kaum wanita kesatu taraf yang lebih mulia, berbanding nasib mereka dalam era jahiliah.



Dalam hal ini, baginda Rasulullah SAW pernah bersabda Riwayat Termizi:

Mafhumnya: “ Sebaik-baik kamu ialah orang paling baik terhadap ahli keluarganya dan akulah sebaik-baik di antara kamu kepada ahli keluargaku” .



Sesungguhnya, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW telah terbukti berjaya mengubah nasib golongan wanita di seluruh dunia, dari lembah kehinaan dan diskriminasi, lalu diangkat kedudukannya yang mulia dan terhormat.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Walaupun Islam telah memuliakan kaum wanita, masih terdapat kecenderungan sesetengah pihak yang meremehkan wanita sehingga menjadi mangsa diskriminasi. Pandangan dan suara hati wanita tidak diberi perhatian. Bahkan kalaupun dilayan, layanan diberi secara acuh tidak acuh sahaja. Malah, pendapat kaum wanita yang menyentuh kepentingan diri mereka sendiri ada kalanya tidak dipandang serius.



Sikap seumpama ini boleh mendedahkan kaum wanita kepada tindakan dan layanan yang tidak adil. Cuba bayangkan jika sekiranya orang yang menjadi mangsa diskriminasi adalah ibu kita sendiri atau bayangkan perasaan seorang lelaki jika yang menjadi mangsa kezaliman terkena ke atas isteri, anak perempuan atau saudaranya sendiri.



Sidang Jumaat Yang Rahmati Allah,

Kita dapati masih terdapat eksploitasi kaum lelaki ke atas kaum wanita. Tentu kita merasa sedih mendengar berita wanita diperkosa, didera dan dizalimi dengan pelbagai bentuk tekanan psikologi.



Selain itu, terdapat kaum wanita sendiri yang merelakan diri di eksploitasi dan menjadi bahan iklan murahan, akibatnya, semakin ghairah lelaki yang buas mengambil kesempatan dan tidak menghormati nilai seorang wanita. Oleh itu, bagi memelihara taraf kaum wanita, perubahan sikap perlu bermula dari kaum lelaki yang menjadi pemelihara dan pelindung kaum wanita.



Sementara kaum wanita sendiri perlu menghargai diri sendiri dan bangun menyatakan hak mereka dengan menyayangi dan menghormati kaum lelaki yang sentiasa melindungi mereka. Kita yakin bahawa, hanya orang yang benar-benar beriman sahaja mampu memikul amanah ini. Iman yang sempurna akan mendorong kita melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.



Oleh itu seseorang yang tidak menyempurnakan tanggungjawab dalam memelihara hak wanita, bererti ia tidak sempurna imannya, walaupun sudah banyak amalan kebajikan dan ibadah yang dilakukannya. Bagi memastikan kaum lelaki memiliki iman dan takwa yang sempurna, marilah kita sama-sama menghormati hak kaum wanita. Kita melindungi mereka dan seterusnya kita menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh amanah bagi membahagiakan mereka. Kebahagiaan kaum wanita menjadi asas utama kepada kebahagiaan keluarga, masyarakat dan negara.



Sabda Nabi Muhammad SAW:

Mafhumnya: “ Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya”.

(سورة آل عمران : 104)

Friday, December 4, 2009

Tiada couple dalam Islam

Ikuti dialog oleh satu pasangan yang sedang berkhalwat tertangkap oleh seorang ustaz. Hayatilah intisari dialog ini, dan muhasabahlah diri kita masing-masing.


Pelajar: Kami tidak berzina!

Ustaz: Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Pelajar: Kami hanya berbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum adakah itu menghampiri zina?

Ustaz: Ya, perbuatan ini menjerumus pelakunya ke lembah perzinaan.

Pelajar: Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Ustaz: Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula lupa. Siapalah kita berbanding Adam dan Hawa? Ia ada lebih 1001 cara. Ingat pesanan Rasulullah S.A.W.: “Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi, kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Pelajar: Tidak semestinya semua orang bercinta menjurus kepada penzinaan. Ada orang bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun.

Ustaz: Betul. Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka, tapi perasaan pasti bergelora. Lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja, percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada penzinaan akhirnya?

Pelajar: Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itu zina juga ke?

Ustaz: Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan (berpegang-pegangan), ada zina mata (melihat kekasihnya dengan perasaan berahi). Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W.: “Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kakinya juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulut juga berzina dan zinanya ialah ciuman.” (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan dan lorong menuju kepada penzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada penzinaan.

Pelajar: Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Ustaz: Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit dalam hati hamba-hambanya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekali pun, kalau tak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebihlah lagi. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh malaikat Raqib dan Atiq?

Pelajar: Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni study group.

Ustaz: Study group? nampak macam lain macam saja. Manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun carilah study group ramai-ramai sedikit. Kalau duduk berdua-dua macam ini.. betul ke bicang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Pelajar: Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.

Ustaz: Baik sungguh awak berdua. Takkan awak berdua tak perasan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan nafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Pelajar: Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Ustaz: Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis. Ingat banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Pelajar: Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam islam untuk bercinta? Adakah islam membunuh terus naluri cinta?

Ustaz: Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang untuk membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Maka tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat pada nalurinya. Jangan jadi malaikat! kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri nafsu.

Pelajar: Tentu ada cinta secara Islam.

Ustaz: Cinta secara islam hanya satu iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul; cinta lepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang cinta antara lelaki dan wanita sebelum kahwin, ia membawa kepada sesuatu sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah S.A.W.: “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah.” (Ibni Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Pelajar: Kalau begitu, cinta semua menghampiri kepada penzinaan?

Ustaz: Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian aturkan pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru. Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan penzinaan? Penghujung jalan cinta adalah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda seekor nyamuk sekalipun!

Pelajar: Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Ustaz: Allah menciptakan manusia. Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu, Allah memerintahkan supaya diri menjauhi perkara yang ditegah. Takut manusia kecundang.

Pelajar: Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Ustaz: Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan ujian walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah Khuldi dalam syurga. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu, Allah berpesan pada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok Khuldi. Firman Allah S.W.T.: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu berdua sukai dan jangan hampiri pokok ini, (Jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.” (Al-A’araf:ayat 19). Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah Khuldi. Tetapi Allah tahu sifat dan kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara yang ditegah, takut nanti mereka akan memakannya kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah zina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan penzinaan, kedua-duanya kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Pelajar: Tetapi cinta lepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenali hati budi pasangan sebelum membuat keputusan sebelum berkahwin.

Ustaz: Boleh percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan pelbagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan haraplah lepas kahwin bila merajuk ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, sabar tunggu pasangan terlambat berjam-jam. Tapi bila dah kahwin lewat 5 minit dah kene tengking. Jadi, perwatakan masa bercinta adalah suatu kepuraan yang hipokrit.

Pelajar: Percayalah kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.

Ustaz: Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu jika jalan mencapainya tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan cinta sebegini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai, cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah memulakannya pun sudah canggung. Bagaimana kesudahannya?

Pelajar: Tanya sikit adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta.

Ustaz: Semua itu adalah perangkap syaitan. Hakikatnya sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tapi isinya sama. Adik, abang, kakak angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dalam budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan.

Pelajar: Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Ustaz: Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia. Sebab ukuran manusia sering berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran maruah atau tidak ditentukan oleh Allah.

Pelajar: Adakah orang yang bercinta hilang maruah?

Ustaz: Antara kemuliaan manusia ialah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka sedang menghampiri penzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman: “Lelaki yang berzina(lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik.Dan perkahwinan yang demikian terlarang kepada orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nur:Ayat3). Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan.

Pelajar: Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang pernah bercinta?

Ustaz: Itulah pasangan yang layak untuk dirinya kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Pelajar: Kami telah berjanji untuk sehidup semati.

Ustaz: Apa yang ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Pelajar: Masihkah ada orang yang tidak bercinta pada zaman ini?

Ustaz: Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah S.W.T.: “Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzab:ayat 35).

Pelajar: Bagaimana kami?

Ustaz: Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redhaNya.

Pelajar: Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkan bagaimana taubat nasuha.

Ustaz: Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:
1.Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.
2.Menyesal. Menginsafi diri atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.
3.Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah setelah ijab Kabul.

Pelajar: Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jagaku sedari kecil dengan kasih sayang. Mengapa kucurahkan kasihku kepada orang lain. Oh tuhan, hambamu yang berdosa. Amin, Ya Rabb.

Ustaz: Moga Allah terima taubatmu.

Pelajar: Kita berpisah kerana Allah, kalau ada jodoh tidak ke mana.

Ustaz: Ya Allah, bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintuMu, mencari redhaMu, terimalah taubat mereka.

Dipetik daripada Kalam Ukhwah,
Syukbah Penerbitan dan Risalah Surau Perdana,
Kolej Matrikulasi Melaka
http://lasiaf87.word…-couple-dalam-islam/